|
14 Jun 2010 - Rombongan Lawatan Bermaklumat guru-guru INTAN ke Beijing telah selamat kembali setelah berada 6 hari 5 malam di Beijing. 17 orang telah menyertai lawatan tersebut, terdiri daripada guru-guru SMK Tg Ampuan Intan berserta keluarga masing-masing. Rombongan bertolak daripada Lapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pada 8 hb. Jun , dan tiba kembali pada 14 hb Jun 2010. Antara tempat menarik yang dilawati ialah Dataran Tiennmen, Forbidden City, Tembok Besar, dan Summer Palace. Kami juga dibawa ke kilang Jed, batu permata, sutera, mutiara, pusat penghasilan ubat tradisional cina dan juga tempat urut kaki- perubatan cara Nepal.Selain itu rombongan berpeluang membeli belah di beberapa pasar raya di sana. Kami juga dibawa menonton pertunjukan Acrobatic yang sungguh menarik. Makan minum tidak menjadi masalah di sana kerana terdapat restoran muslim yang menyajikan makanan halal, cuma menu dan cara masakannya mungkin kurang sesuai dengan selera sebahagian ahli rombongan. Kami agak terperanjat juga apabila sewaktu makan malam di sebuah restoran Turki ada persembahan tarian dari Timur Tengah. Masjid-masjid juga sangat mudah dijumpai di Beijing. Selama di sana, kami singgah di beberapa buah masjid yang berbeza untuk solat. Telekung pun ada disediakan untuk muslimat. Yang mengkagumkan ialah kefasihan orang Cina bercakap Bahasa Melayu. Pemandu pelancong kami belajar Pengajian Kesusasteraan Melayu di Universiti Beijing. Di kedai-kedai, restoran, masjid dan penjaja, rata-rata dapat menggunakan Bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan kami. Melawat Beijing rasa seperti masih berada di negara sendiri kerana masyarakatnya ialah orang Cina yang rupa dan bahasa sama seperti orang Cina di Malaysia. Kebetulan pula sangat ramai pelancong dari Malaysia pada musim cuti sekolah. Jika inginkan kelainan carilah lokasi yang menawarkan suasana berbeza pula. "Jauh Perjalanan Luas Pandangan. Luas Pandangan Berkembang Pemikiran."

|